Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sebanyak RM1.53 bilion diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) tahun ini bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi.

Ia bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara dengan mengurangkan kos mereka sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur.

"Sebagai contoh, program bantuan output pertanian bersubsidi iaitu Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) juga sudah dinaikkan daripada RM300 kepada RM360 bagi setiap satu tan metrik padi bersih bermula Januari 2019.

"Ia bermatlamat menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) sama ada kementerian itu bercadang mengkaji pemberian subsidi berasaskan output dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi negara di samping terus menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah.

Menurut Ronald, Mafi juga akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi, selain mewujudkan 'self regulated industry' secara beransur-ansur.

Katanya, sebarang pengurangan atau penarikan bantuan subsidi dan insentif input pertanian secara drastik tidak disyorkan ketika ini kerana menjejaskan pendapatan pesawah.

Katanya, Kajian Empirikal Kesan Subsidi ke atas Pengeluaran Padi dan Pendapatan Petani oleh Universiti Putra Malaysia pada 2019 mendapati kedua-dua subsidi serta insentif berasaskan input dan output masih diperlukan bagi memastikan pulangan terbaik kepada pesawah di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 5:08 PM
MAFI akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi. FOTO Arkib NSTP
MAFI akan terus berunding dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan pendekatan pemberian subsidi dan insentif yang berasaskan output yang akan menggalakkan pesawah untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi. FOTO Arkib NSTP