ANGGOTA bomba melakukan siasatan di kawasan kebakaran pada 11 September lalu.
ANGGOTA bomba melakukan siasatan di kawasan kebakaran pada 11 September lalu.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak menolak kemungkinan kebakaran sembilan bengkel kenderaan dan stor di Kawasan Perindustrian Padang Lalang, di sini disengajakan.

Kejadian pada 4.40 pagi, 11 September lalu itu menyebabkan 95 peratus deretan premis terbabit musnah.

Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, hasil siasatan pihaknya setakat ini mendapati terdapat unsur khianat atau kebakaran yang disengajakan.

Katanya, rumusan itu menerusi penelitian pelbagai sudut serta tiada tanda kebakaran disebabkan litar pintas atau punca lain.

"Kita telah menyerahkan laporan siasatan kebakaran ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mereka melakukan tindakan lanjut.

"Dalam kejadian itu 16 kenderaan pelbagai jenis termasuk dua jentera angkat susun (forklift) musnah selain, kabel Telekom Malaysia dan beberapa unit enjin kuasa elektrik milik syarikat kontraktor TM," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini Wan Mohd Zaidi berkata, lapan bengkel kenderaan dan jentera berat di kawasan sama turut musnah dalam kebakaran pada 27 Ogos lalu.

Katanya, siasatan bagi kes itu juga sudah disiapkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

"JBPM Pahang akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes kebakaran begini dan memandang serius tindakan berkenaan.

"Kepakaran anggota forensik juga tidak perlu dipertikaikan dalam siasatan terhadap punca kebakaran," katanya.

Berita berkaitan

Kedai, bengkel kereta musnah dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 11:24 AM