ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah bengkel di Blok B PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah bengkel di Blok B PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Dua kereta dan lima motosikal musnah dalam kebakaran sebuah bengkel di Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 4.44 pagi tadi.

"Seramai 20 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara dan BBP Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah bengkel di blok B PPR berkenaan yang terbakar 80 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dua kereta dan lima motosikal di dalam bengkel berkenaan musnah akibat terbakar.

"Kebakaran itu dikawal 5.08 pagi tadi dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:51 AM