Syaherah Mustafa

Bachok: Suasana sesak dapat dilihat di sekitar Pantai Irama, di sini, yang menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai selepas kerajaan memberi kebenaran beriadah bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tinjauan ke lokasi berkenaan sekitar jam 5 petang hingga 6 petang, semalam, mendapati keadaan yang sebelum ini lengang bertukar 'riuh' dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai daerah selain turut berlaku kesesakan lalu lintas susulan kenderaan yang banyak.

Hasil tinjauan juga dapat dilihat majoriti pengunjung mengenakan pelitup muka termasuk peniaga di sekitar Pantai Irama, namun agak membimbangkan tentang penjarakan fizikal susulan orang yang terlalu ramai walaupun ada sebahagian kawasan di situ ditutup daripada kemasukan sebarang kenderaan.

Pengunjung, Ahmad Zailan Kadir, 36, berkata dia mengakui tidak berani untuk turun daripada kereta apabila melihat jumlah pengunjung , tambahan pula dia turut membawa bersama anak kecil berusia dua tahun.

"Saya mengambil keputusan untuk bersiar-siar melihat suasana di pantai melalui dalam kereta sahaja demi keselamatan bersama. Hari ini (semalam), adalah pertama kali kami sekeluarga keluar ke pantai selepas dibenarkan, jadi agak terkejut dengan suasana yang ramai ini.

"Sebelum pandemik Covid-19 melanda, Pantai Irama sering sahaja dijadikan lokasi untuk menjalankan sebarang program keramaian namun pengunjung tidaklah seramai ini.

"Melihat kepada keadaan sebegini, timbul juga rasa takut walaupun saya sendiri sudah lengkap dua dos vaksinasi, kerana kita tidak tahu jika ada antara pengunjung yang membawa wabak," katanya ketika ditemui di Pantai Irama, di sini, semalam.

SUASANA di Pantai Irama yang dikunjungi ramai pengunjung selepas kerajaan memberi kebenaran beriadah bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO Syaherah Mustafa
SUASANA di Pantai Irama yang dikunjungi ramai pengunjung selepas kerajaan memberi kebenaran beriadah bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO Syaherah Mustafa

Turut kelihatan beberapa kelab kereta yang berkumpul di kawasan parkir pantai berkenaan dengan mengenakan pakaian seragam mengadakan perjumpaan antara ahli kelab mereka.

Bagi peniaga makanan, Rosnah Zakaria, 32, keadaan sesak berlaku sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran beriadah, malah dia mengakui suasana agak 'luar biasa' dengan pengunjung yang ramai.

"Bagi saya sebagai peniaga, keadaan ini adalah satu rezeki tetapi dalam masa sama bimbang kerana tidak tahu pelanggan yang datang dari mana selain khuatir berlaku penularan wabak.

"Saya pastikan pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) jika datang ke gerai ini selain mewajibkan mereka menunjukkan bukti sudah lengkap vaksinasi jika mahu makan di kedai. Lagipun, saya hadkan meja serta kerusi dan menyarankan pengunjung untuk bungkus sahaja.

"Bila melihat keadaan sebegini, memang ada rasa gembira kerana Pantai Irama kembali 'bernafas' namun, saya berharap pihak berkuasa dapat membantu mengawal suasana agar tiada yang melanggar SOP yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 1:01 PM