Rohaimi Md Isa memeriksa sijil digital vaksinasi pelanggan di sebuah restoran, baru-baru ini. FOTO NSTP
Rohaimi Md Isa memeriksa sijil digital vaksinasi pelanggan di sebuah restoran, baru-baru ini. FOTO NSTP
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kebenaran beriadah bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyebabkan orang ramai di Terengganu mengambil kesempatan beriadah bersama keluarga sempena cuti Hari Malaysia, hari ini.

Berikutan itu, kawasan pantai dan taman rekreasi yang sebelum ini sunyi kembali meriah dengan pelbagai aktiviti dilakukan pengunjung selepas sekian lama 'terkurung' berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, dalam keghairahan beriadah, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.

Esok, Terengganu akan beralih ke Fasa 3 PPN, namun ia bukan tiket untuk orang ramai bebas melakukan sebarang aktiviti tanpa mematuhi SOP.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sentiasa membuat rondaan secara berkala terutama di kawasan tumpuan ramai seperti kawasan pantai, taman rekreasi dan pusat beli-belah.

Beliau berkata, orang ramai yang melakukan aktiviti khususnya riadah bersama keluarga di kawasan pantai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP terutama pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

"Walaupun beriadah bersama keluarga, SOP hendaklah sentiasa dipatuhi kerana kita masih lagi belum menang melawan virus Covid-19 ini.

"Harus diingat virus covid-19 masih lagi berleluasa terutama penularan varian Delta yang sudah hampir 'menjelajah' ke seluruh daerah di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai sepatutnya menghargai segala kebebasan diberi kerajaan selepas lama 'terperuk' di kediaman masing-masing, namun kebebasan itu hendaklah dijaga bersama dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah terutama di kawasan tumpuan ramai.

Tinjauan di Pantai Peranginan Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus, di sini, mendapati pantai berkenaan dipenuhi orang ramai sama ada berkelah atau melakukan pelbagai aktiviti yang terdapat di kawasan berkenaan.

Hasil tinjauan mendapati, ada segelintir pengunjung mengabaikan SOP memakai pelitup muka di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 10:22 PM