Penduduk berkelah di Pantai Pandak Chendering seawal jam 7 pagi susulan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Penduduk berkelah di Pantai Pandak Chendering seawal jam 7 pagi susulan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Penduduk di negeri ini mengambil peluang beriadah dan berkelah di Pantai Pandak di Chendering, dekat sini, susulan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan di Pantai Pandak mendapati penduduk membanjiri pantai itu seawal jam 7 pagi untuk berkelah.

Selain bersantai di tepi pantai, segelintir pengunjung tidak melepaskan peluang bermandi manda selain merakam gambar pemandangan pantai.

Penduduk, Rosli Ab Abdillah, 45, berkata, dia terkejut apabila melihat terlalu ramai penduduk yang berkelah di tepi pantai.

"Biasanya pemandangan sesak seperti itu hanya pada waktu petang, tetapi sekarang pada sebelah pagi juga meriah.

"Sudah lama saya tidak lihat pemandangan seperti itu. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tiada siapa yang datang ke pantai.

"Kebetulan hari ini cuti hujung minggu, jadi ramai penduduk yang datang ke pantai sambil membawa anak-anak untuk berkelah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, dia berharap semua pengunjung patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, pengunjung, Omar Ahmad, 32, dari Kampung Batu Buruk berkata, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka memang penting dan perlu dipraktikkan pada setiap masa.

"Sekarang Covid-19 berjangkit melalui pelbagai cara dan ia perlu dielakkan.

"Memang sekarang Terengganu memasuki Fasa 3 PPN namun ia bukan tiket untuk kita abaikan SOP dan beriadah tanpa kawalan," katanya.

Menurutnya, dia berharap orang ramai prihatin dan menitik beratkan keselamatan diri dan keluarga supaya terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 1:05 PM