Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Beberapa kawasan awam di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, sesak dan dipenuhi orang awam, susulan peralihan negeri ini ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jumaat lalu.

Tinjauan di Puteri Harbour, di sini, semalam, mendapati kawasan jeti bot itu sesak dengan dengan orang ramai yang membawa keluarga termasuk anak-anak bersantai menghirup udara laut.

Jalan di sekitar Puteri Harbour juga mengalami kesesakan luar biasa berikutan kehadiran orang ramai ke situ selepas kawasan itu lengang dan sunyi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 12 Mei lalu.

Lebih membimbangkan, berikutan kehadiran pengunjung yang ramai menyebabkan penjarakan sosial sukar dilakukan, terutama apabila orang ramai duduk di tembok tebing jeti berkenaan secara beramai-ramai.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Azimah, 35,berkata, beliau bersama keluarga berkunjung ke kawasan jeti bot berkenaan bagi membawa anak-anaknya bersantai dan menghirup udara segar.

"Sebelum ini memang tidak berani membawa anak ke mana-mana sejak PKP Mei lalu, namun selepas Johor beralih ke Fasa Dua barulah saya dan suami membawa mereka bersiar keluar.

"Apabila melihat orang terlalu ramai, agak bimbang juga namun saya mengarahkan anak-anak tidak membuka pelitup muka mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

"Di Johor Bahru banyak pusat tumpuan termasuk zoo dan taman tema belum dibuka, jadi kawasan terbuka tepi laut seperti Puteri Harbour lebih sesuai untuk bersantai apatah lagi kawasan Pantai Stulang lebih sesak dan sukar mencari parkir kereta," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ridzuan Mustakim, 39, turut mengingatkan orang ramai supaya tidak leka dan alpa terhadap penularan Covid-19 yang masih tinggi di negeri ini.

"Saya dan anak-anak tidak berani pergi ke kawasan jeti yang terlalu ramai pengunjung sebagai langkah berjaga-jaga.

"Walaupun sudah lama kita rakyat Johor berkurung, janganlah terlalu teruja membawa keluarga keluar di tempat sesak. Sentiasa berwaspada dan jaga keluarga kita sebelum menyesal nanti," katanya.

ORANG ramai beriadah di Puteri Harbour selepas Johor berahlih  ke Fasa Dua PPN. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ORANG ramai beriadah di Puteri Harbour selepas Johor berahlih ke Fasa Dua PPN. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 12:06 PM