Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Tasik Kenyir yang dibuka secara rasmi pada 1 September lalu menerima kehadiran kira-kira 35,000 pengunjung dalam tempoh tiga minggu sekali gus merancakkan kembali sektor ekonomi di tasik buatan manusia itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Senator Datuk Razali Idris berkata, ia membabitkan 27,600 pengunjung secara jumpa terus, rumah bot (3,300), bot laju (3,000) dan 1,100 bagi rumah rakit.

Beliau berkata, jumlah kedatangan yang ramai itu menunjukkan sektor pelancongan di Terengganu kembali bernafas sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi.

"Apabila rentas negeri tidak dibenarkan, penduduk di Terengganu memberi fokus kepada tempat-tempat menarik yang ada di dalam negeri seperti pulau dan Tasik Kenyir.

"Berdasarkan data diterima, Tasik Kenyir menerima kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung ketika cuti umum sempena Hari Malaysia.

"Kedatangan jumlah pelancong yang ramai juga hasil inisiatif pengusaha pelancongan di sini yang menawarkan potongan harga antara 20 hingga 30 peratus bagi setiap produk mereka dalam usaha merancakkan semula aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir," katanya.

 Kelihatan rumah bot kembali beroperasi di Tasik Kenyir selepas Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO GHAZALI KORI
Kelihatan rumah bot kembali beroperasi di Tasik Kenyir selepas Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO GHAZALI KORI

Beliau berkata demikian selepas meninjau aktiviti pelancongan di sekitar Tasik Kenyir sempena pembukaan semula sektor pelancongan di Terengganu kepada individu yang lengkap menerima dua suntikan vaksin Covid-19.

Razali berkata, orang ramai yang ingin berkunjung ke Tasik Kenyir, khususnya yang menyewa rumah bot, perlu lengkap vaksinasi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada di tasik berkenaan.

Katanya, langkah itu perlu dipatuhi bagi memastikan tiada jangkitan wabak Covid-19 menular di kawasan pelancongan itu.

Sementara itu, pengunjung yang juga kakitangan kerajaan, Nordin Yusof, 50, berkata, dia bersama 14 ahli keluarga memilih untuk bercuti dengan menggunakan perkhidmatan rumah bot.

"Sebenarnya, saya sudah dua tiga kali datang sini tetapi ini kali pertama saya bawa keluarga.

"Tempat ini memang sesuai untuk semua peringkat umur kerana pelbagai aktiviti boleh diadakan seperti memancing, mandi dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:45 PM