Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Keadaan ombak hari ini amat menakutkan. Ombak tinggi memukul pantai hingga menyebabkan air laut melimpah ke kawasan jalan kaki," ujar pengunjung di Pantai Murni di sini, Nor Asyikin Nordin, 41.

Fenomena air pasang yang berlaku sejak kelmarin menyebabkan ombak di perairan laut Kedah dan Perlis turut berbahaya kepada bot kecil dan pemancing ikan.

Tinjauan di kawasan Pantai Murni, di sini, semalam, mendapati pengunjung yang datang untuk beriadah tidak berani mendekati kawasan pantai berikutan ombak kuat.

Menurut Nor Asyikin, dia bersama keluarga baru pulang dari rumah bapanya di Sungai Petani dan singgah di pantai itu untuk berehat.

"Saya hanya mampu merakam gambar ombak besar di tepi pantai sehingga melepasi tembok pejalan kaki. Sangat menakutkan dan berbahaya kepada sebarang aktiviti persisir pantai," katanya tadi.

Pengunjung lain, Aisyah Ishak, 44, berkata, dia dan suami bersama empat anak datang ke pantai itu untuk beriadah selepas Kedah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu lalu.

Namun keadaan ombak yang kuat akibat air pasang menyebabkan mereka hanya singgah mengambil gambar dan pulang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, pihaknya melakukan pemantauan termasuk di sekitar kawasan pantai yang terjejas di di Kuala Muda, Kuala Kedah dan Yan.

Katanya, kejadian air pasang itu turut menyebabkan beberapa rumah di Kampung Seberang Jaya, Mukim Sala Besar dimasuki air sejak malam tadi.

Mohd Muaz berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika mengunjungi kawasan pantai disebabkan air pasang besar yang berlaku.

Media sebelum ini melaporkan ribut petir dijangka berlaku mengakibatkan angin kencang 30 hingga 40 kilometer sejam di sekitar perairan Kedah dan Perlis.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah, Muhamad Khalil Abdul Aziz berkata, berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter dijangka berlaku di negeri ini.

Orang ramai yang mengunjungi kawasan Pantai Murni melihat keadaan ombak kuat akibat air pasang yang berlaku. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Orang ramai yang mengunjungi kawasan Pantai Murni melihat keadaan ombak kuat akibat air pasang yang berlaku. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 4:41 PM