Dua lelaki termasuk remaja yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan FAC Matang di Padawan, malam tadi. Foto Melvin Joni
Dua lelaki termasuk remaja yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan FAC Matang di Padawan, malam tadi. Foto Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Dua lelaki termasuk seorang remaja ditahan selepas disyaki berlumba sambil melakukan aksi 'Superman' di Jalan FAC Matang di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kedua-duanya yang berusia 16 dan 22 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bermula 5 petang hingga 10 malam.

"Dalam operasi itu, dua orang ditahan kerana melakukan aksi tunggangan secara melulu dan merbahaya iaitu berlumba sambil melakukan aksi meniarap di tempat duduk motosikal ala 'Superman'.

"Kedua-duanya kemudiannya dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mereka itu akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda dari RM5,000 sehingga RM15,000 bagi kesalahan pertama.

"Dalam operasi ini, sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal yang diperiksa.

Sementara itu, Jaw Shyong berkata, Op Samseng Jalanan IPD Padawan diadakan adalah untuk mencegah aktiviti lumba haram di sekitar kawasan terbabit.

"Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka apabila menggunakan motosikal supaya tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak berfaedah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 11:46 AM