Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan lima lelaki termasuk remaja selepas didapati menunggang dalam keadaan bahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman dan bersaing di Lebuhraya NPE serta Duke. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan lima lelaki termasuk remaja selepas didapati menunggang dalam keadaan bahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman dan bersaing di Lebuhraya NPE serta Duke. FOTO Ihsan JSPT Kuala Lumpur
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai lima lelaki termasuk pelajar sekolah ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), awal pagi tadi.

Mereka yang berusia 15 hingga 22 tahun itu ditahan selepas didapati berlumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan yang dijalankan di sekitar ibu kota.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dilakukan pada 9 malam dan berakhir 4 pagi berlangsung dengan kekuatan lapan pegawai bersama 81 anggota.

Menurutnya, kelima-lima tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini untuk siasatan lanjut.

"Mereka didapati menunggang dalam keadaan bahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman dan bersaing.

"Kesemuanya akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Operasi Motosikal dan Pelbagai Kesalahan, Sarifudin berkata, operasi dijalankan di beberapa laluan sekitar ibu kota.

Katanya, seramai 11 lelaki berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemuanya dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah mengikut seksyen sama," katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Tambah beliau, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi terutama pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 9:42 AM