ANTARA penunggang motosikal yang ditahan polis awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan polis awal pagi tadi. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menahan 10 penunggang motosikal dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, unit risikan/ operasi JSPT Bukit Aman dengan kekuatan dua pegawai kanan dan 15 pegawai rendah mengadakan operasi samseng bermula jam 10.30 malam sehingga jam 4 pagi.

Menurutnya, objektif utama operasi adalah membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutamanya pada musim Op Selamat ke-21 yang sedang berlangsung.

"Dalam operasi ini, 10 lelaki yang melakukan kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya di dua lokasi berasingan ditahan.

"Tangkapan pertama dijalankan pada jam 12.15 tengah malam terhadap dua lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki (superman) bermula dari Kilometer (KM) 284 sehingga KM 276 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah selatan dan tangkapan dilakukan di hadapan sebuah restoran di Seremban 3," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman berkata, tangkapan kedua dijalankan pada jam 1.45 pagi terhadap lapan lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi superman bermula dari KM 21 sehingga KM 19 Lekas.

"Kesemua yang ditangkap berusia dalam antara 17 hingga 23 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

"Motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR, Yamaha 135 LC dan Yamaha 125z yang digunakan disita," katanya.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 48 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

"Hasil soal siasat dapati kesemua yang ditahan tidak terbabit dalam mana-mana kumpulan motosikal yang salah.

"Mereka semua menetap di sekitar kawasan terdekat iaitu dari Port Dickson, Senawang dan Semenyih," katanya.

Katanya, mereka hanya menjadikan kedua-dua lebuh raya itu sebagai laluan konvoi untuk ke kedai makan yang terletak di Seremban 3 dan Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 12:07 PM