PEKERJA pembersihan sebuah hospital awam di Tanjung Rambutan berhimpun secara aman. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PEKERJA pembersihan sebuah hospital awam di Tanjung Rambutan berhimpun secara aman. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kira-kira 200 pekerja pembersihan di sebuah hospital awam di Tanjung Rambutan di sini, menuntut diberikan elaun khas Covid-19.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung M Sarasvathy berkata, tuntutan itu dibuat bagi membela nasib pekerja yang setiap hari bekerja di wad Covid-19.

Katanya, pihaknya sudah menghantar beberapa surat tuntutan kepada pihak Edgenta UEMS Sdn Bhd (UEMS) selaku syarikat pengendali berhubung perkara itu sejak Ogos, namun tiada sebarang maklum balas.

"Walaupun kesatuan sudah menghantar aduan kepada UEMS beberapa kali, UEMS masih enggan atau seolah-olah tidak mahu menyelesaikan masalah ini.

"Mereka doktor dan jururawat juga adalah petugas barisan hadapan di hospital, tetapi tiada bayaran khas diterima dan ditambah pula dengan pelbagai bebanan kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama pekerja pembersihan hospital berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya, jika sebelum ini seorang pekerja pembersihan akan ditempatkan di satu wad sahaja, namun kini ada antara mereka yang ditempatkan sehingga tiga ke empat wad.

Terdahulu, perhimpunan yang berlangsung kira-kira 20 minit itu disertai kira-kira 80 pekerja pembersihan.

Dalam pada itu, Sarasvathy berkata, selain menuntut elaun khas mereka turut menuntut sepuluh perkara lain termasuk cuti umum 15 hari dan faedah perubatan RM1,000.

Beliau turut menuntut agar kenaikan gaji dapat diberikan secara adil kepada semua pekerja pembersihan terbabit kerana mendakwa hanya 100 orang pekerja sahaja yang menerima kenaikan gaji sebanyak RM30.

"Selain itu kami berpandangan kenaikan gaji RM30 adalah tidak berbaloi dan kenaikan gaji ini seharusnya dibuat dengan lebih adil dan bukan berdasarkan kepada penilaian prestasi semata-mata.

"Penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya ini berkemungkinan boleh dimanipulasi pihak lain," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:30 PM