PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan kepada pesakit COVID-19. FOTO arkib NSTP
PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan kepada pesakit COVID-19. FOTO arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Terdapat lebih 12,000 pesakit Covid-19 di negara ini yang sudah sembuh dikesan menghidap kesan jangka panjang wabak itu dikenali sebagai 'long Covid'.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, seramai 12,654 pesakit Covid-19 yang dibenarkan discaj dari hospital, diberi janji temu dan hadir rawatan susulan di fasiliti kesihatan bagi gejala long Covid setakat ini.

Katanya, KKM mengesan lima gejala utama long Covid yang dihadapi pesakit berkenaan dengan sejumlah besar daripada mereka menghidap kelesuan dan sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu.

"Berdasarkan pemantauan ke atas pesakit, terdapat lima gejala utama yang sering dihidapi pesakit long Covid iaitu kelesuan (79.2 peratus) dan sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.6 peratus).

"Selain itu, gejala yang dikesan adalah batuk (17.2 peratus), kesukaran tidur (14.6 peratus) dan keresahan (10.6 peratus)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang meminta perincian mengenai jumlah pesakit Covid-19 yang berdepan masalah long Covid.

Long COVID adalah keadaan pesakit di mana gejala dan tanda Covid-19 yang dihidapi melebihi tempoh empat minggu.

Ia merangkumi dua tahap iaitu gejala berterusan Covid-19 bagi pesakit yang bergejala dalam tempoh empat hingga 12 minggu serta sindrom pasca Covid-19 dengan pesakit yang bergejala melebihi 12 minggu dan tidak dapat dikaitkan dengan diagnosis alternatif yang lain.

Khairy berkata, perkhidmatan rehabilitasi komprehensif yang khusus kepada pesakit long Covid dilaksanakan di Hospital Sungai Buloh membabitkan pelbagai bidang kepakaran.

Antara bidang kepakaran terbabit ialah Jabatan Perubatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Jabatan Perubatan Rehabilitasi dan kerjasama dengan Hospital Universiti iaitu Unit Respiratori Hospital UiTM.

Sejak November 2020 hingga 31 Julai 2021, Khairy memaklumkan seramai 2,388 pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang discaj dari Hospital Sungai Buloh dirujuk bagi perkhidmatan khusus ini, merangkumi perkhidmatan susulan secara telekonsultasi dan perkhidmatan susulan secara fizikal.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,545 (64.6 peratus) mengalami gejala long Covid.

"Daripada segi hasilnya pula, 41.2 peratus pesakit long Covid sembuh daripada gejala setelah empat minggu discaj dari hospital.

"Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit long Covid yang mempunyai indikasi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:12 PM