Ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19.  FOTO Ihsan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. FOTO Ihsan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 66 peratus daripada 1,004 individu yang menjalani rawatan susulan selepas dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima mengalami Sindrom Post Covid.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 'The National Institute for Health and Care Excellence' (NICE) United Kingdom mengeluarkan satu garis panduan mengenai 'Long Covid' atau dikenali sebagai Sindrom Post Covid pada 18 Disember 2020.

Menurutnya, sindrom itu adalah suatu keadaan yang mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan ia tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

"Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang.

"Data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya, namun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post Covid.

"Berdasarkan kajian klinikal dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan 1,004 pesakit kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripada mereka mengalami Sindrom Post Covid," katanya pada kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

"Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terbabit.

"Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum," katanya.

Beliau berkata, kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post Covid dan ia akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

"Justeru itu, pesakit-pesakit Covid-19 yang dibenarkan keluar dari hospital akan diberikan temu janji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan.

"Bagi bekas pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

"Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan pada tahap terbaik serta mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang," katanya.

Menurutnya, langkah menjaga diri dan ahli keluarga penting supaya kekal terlindung daripada bahaya Covid-19 selain mendaftar bagi mendapatkan vaksin untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

"Kesan Covid-19 boleh berpanjangan dan mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti seseorang. Harus diingatkan bahawa golongan muda adalah kumpulan utama warga kerja bagi pelbagai sektor di negara ini.

"Golongan muda yang sihat adalah kunci kepada produktiviti negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 7:53 PM