Idris Ahmad menyampaikan kit makanan pada program penyerahan Food Bank YAPEIM dan kotak makanan YADIM  di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Idris Ahmad menyampaikan kit makanan pada program penyerahan Food Bank YAPEIM dan kotak makanan YADIM di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memuktamadkan draf Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau untuk dijadikan panduan kepada semua negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, prosedur pelaksanaan termasuk kuota jemaah tertakluk kepada kuasa badan agama negeri, manakala Jakim hanya berperanan sebagai penyelaras dan penanda aras dalam menyediakan draf ketetapan.

"Semua mufti negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama negeri masing-masing sebelum SOP baharu negeri diumumkan. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik Covid-19.

"Hal berkaitan agama ini tanggungjawab negeri kerana ada kalanya, masyarakat marah mengapa masjid tak boleh datang ramai sedangkan ini (keputusan) bukan tugas kita (Kerajaan Persekutuan), kita tak boleh campur urusan agama (negeri), kita kena hormat.

"Jakim hanya bertindak sebagai penyelaras sahaja, kita beri pandangan dan itu sahaja yang kita boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penyerahan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan kotak makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Penasihat Agama Ketua Menteri Datuk Kamarudin Sidek.

Sementara itu, mengulas perkembangan segelintir guru agama yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, golongan berkenaan sewajarnya memberi kerjasama dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik.

"Keselamatan anak murid dan pelajar tidak boleh 'digadaikan' selain perlu mengambil kira, keputusan pengambilan vaksin bukan berlandaskan pandangan ulama tempatan sahaja, malah cendekiawan agama dari negara Islam seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 3:59 PM