FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hazira Ahmad Zaidi


Bachok: Mekanik bertindak mengugut mahu menyimbah asid dan mencederakan isteri bersama dua anaknya kerana tidak berpuas hati apabila wanita terbabit membuat permohonan untuk bercerai.

Bagaimanapun, suspek berusia 49 tahun itu berjaya ditahan di Kota Bharu pada 5 pagi hari ini untuk membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, terdahulu kejadian berlaku pada 11 pagi 4 September lalu apabila mangsa berusia 28 tahun berada di kedai runcitnya bersama ibu dan dua anaknya sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, lelaki terbabit mengugut akan menyimbah asid dan mencederakan wanita berkenaan dan anak-anaknya.

"Hasil siasatan mendapati suspek berkahwin dengan isterinya pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata di mana kedua-dua anak tinggal bersama mangsa.

"Suspek dipercayai cuba menyerang mangsa disebabkan tidak berpuas hati dengan isterinya yang menuntut penceraian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Shafien berkata, ibu mangsa sebelum ini turut membuat laporan polis ke atas suspek kerana menceroboh masuk ke dalam rumah pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, suspek sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Katanya, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah termasuk kes berkaitan dadah.

Terdahulu tular di media sosial, rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang memaparkan suspek bertindak mengugut mencederakan isterinya dengan menyimbah asid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 8:02 PM