DEWAN Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
DEWAN Rakyat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

AHLI Parlimen blok kerajaan dan pembangkang, hari ini senada dalam menyokong Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dalam memastikan kepentingan rakyat terbela.

Antara penyokong kerajaan yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang itu ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort).

Tajuddin memuji usaha Kementerian Kewangan yang berjaya merancang dan mengatur langkah bagi mengatasi permasalahan dan kebajikan rakyat sekali gus membantu kebangkitan semula ekonomi negara.

"Kita lihat bahawa dengan mewujudkan keadaan di mana rakyat terbela dan dibela, dan juga bantuan kepada peniaga kecil dan sederhana, Insha Allah ekonomi kita akan bangkit semula," katanya pada sesi perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat.

Azizah pula membangkitkan persoalan sama ada peruntukan RM45 billion itu mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa atau ia perlu ditambah memandangkan pengakhiran pandemik Covid-19 masih belum jelas.

Dalam pada itu, rata-rata Ahli Parlimen pembangkang pula menyatakan sokongan bersyarat dan mahu perbelanjaan bagi rang undang-undang itu ditambah demi kepentingan rakyat susulan pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan peruntukan sebanyak RM45 bilion ditambah sekali ganda atas alasan ia tidak mencukupi walaupun ia akan menaikkan hutang kerajaan persekutuan.

"Tetapi dalam keadaan yang amat membimbangkan ini dalam keadaan krisis ini, saya rasa lebih penting untuk kita selamatkan pekerjaan dan perniagaan daripada bimbang tentang kenaikan hutang. Itu sesuatu yang boleh kita terima dengan syarat ia disalurkan kepada rakyat," katanya semasa membahaskan rang undang-undang itu.

Ujarnya, tender terbuka perlu dibuat supaya tidak berlaku ketirisan agar kerajaan dapat memastikan impak suntikan dana itu boleh dirasai semua orang dan tidak terhad kepada syarikat gergasi serta kroni-kroni tertentu sahaja.

Perkara itu dipersetujui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bangkit mencelah dan menyokong peruntukan kerajaan ditambah sebagai suntikan bagi menjana semula ekonomi negara.

Selain itu, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata Pakatan Harapan (PH) tidak menolak keperluan dan kewajaran perbelanjaan itu namun menyatakan keperluan untuk peruntukan tersebut ditambah dalam usaha mengatasi masalah yang timbul daripada pandemik Covid-19.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika berbahas berharap semua Ahli Parlimen menyokong rang-rang undang itu selain mengurangkan pembaziran wang dan berbelanja untuk rakyat yang memerlukan.

"Saya harap kita semua senada dalam hal pemulihan ini dan kurangkanlah segala bentuk perbelanjaan yang membazir. Pembaziran ini kalau dikurangkan, boleh dibelanjakan kepada rakyat yang amat memerlukan," katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:44 PM