Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Biarpun sudah 14 tahun berkelana di Sweden, semangat cintakan tanah air tidak pernah luntur dalam diri bapa enam anak, Zainal Fitri Abu Khair.

Bahkan, Zainal Fitri, 52 berusaha menghimpunkan 20 rakyat Malaysia yang menetap di negara Nordik iaitu Sweden, Finland, Denmark dan Norway untuk sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia, esok.

Ia turut dimeriahkan lagi dengan penghasilan video nyanyian lagu patriotik.

Zainal Fitri berkata, matlamatnya adalah mengeratkan silaturahim antara rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, menanam semangat cintakan tanah air dan meneruskan kesinambungan aktiviti tahunan yang diadakan sejak 2018.

Katanya, dua video dihasilkan kali ini iaitu nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos dan medley Warisan serta Saya Anak Malaysia yang baru dimuat naik di Youtube, kelmarin.

"Projek ini adalah aktiviti tahunan sejak tiga tahun lalu yang mana video lagu patriotik dihasilkan akan dimuat naik di Youtube pada bulan kemerdekaan.

"Sebelum ini, ia hanya membabitkan kumpulan rakyat Malaysia yang menetap di Sweden.

"Masuk tahun keempat, saya terfikir untuk cipta kelainan kerana bosan hasilkan video sama, jadi saya cuba mengajak rakyat Malaysia di negara Nordik lain untuk turut serta.

"Kebetulan, rakyat Malaysia di Norway dan Denmark berada di bawah kendalian Duta Malaysia di Sweden dan beliau juga ada hubungan baik dengan kedutaan di Finland, jadi dapat tarik penyertaan pemastautin di tiga negara terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Zainal Fitri, projek itu mengambil masa setahun untuk disiapkan bermula September tahun lalu, dengan setiap individu diberikan tugasan sama ada menyanyi dan kerja suntingan.

"Cabaran utama dalam projek kali ini tentunya pandemik Covid-19 kerana kami tidak boleh berjumpa untuk rakaman suara seperti dua tahun lalu.

"Selain itu, kami semua amatur yakni bukan penyanyi atau penyunting video profesional, jadi tidak dapat fokus sepenuhnya kepada projek kerana ada kerja hakiki masing-masing.

"Bagaimanapun, saya selaku pengurus projek cuba kumpulkan semua dan adakan perbincangan secara maya untuk mengetahui perkembangan tugas masing-masing dan pastikan mereka hantar sebelum tarikh ditetapkan," katanya yang bekerja sebagai pengurus operasi dan kini menetap di Stockholm bersama keluarganya.

Di sebalik kekangan dihadapi, Zainal Fitri berkata, penghasilan video tahun ini juga lebih menarik kerana dapat dirakam pada empat musim yang berbeza, berbanding sebelum ini hanya ketika musim panas.

"Jujurnya, saya berpuas hati, gembira dan berterima kasih kepada semua yang memberi kerjasama serta komitmen bagi menjayakan projek ini. Diharap projek ini dapat diteruskan dengan pembabitan lebih ramai rakyat Malaysia yang menetap di Switzerland, Jerman, Sepanyol dan negara Eropah lain," katanya.

Video patriotik empat musim.
Video patriotik empat musim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:23 PM