CORAK yang berani dan menarik.
CORAK yang berani dan menarik.
Hartini Mohd Nawi


BAGI kebanyakan orang, meluangkan masa untuk penjagaan diri bermaksud mempunyai satu ruang yang dapat mencetuskan inspirasi, dikelilingi benda atau orang yang menenangkan hati dan jiwa.

Jadi, Ikea dan syarikat reka bentuk Finland, Marimekko berganding tangan meraikan rutin penjagaan diri dengan koleksi edisi terhad baharu, BASTUA.

BASTUA terdiri daripada pelbagai produk baik perabot, objek kaca, tekstil dalam cetakan dan corak yang berinspirasikan kesejahteraan ala Nordik.

Pada masa sama, BASTUA adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan sauna di SmÂland iaitu wilayah di selatan Sweden yang menjadi tempat Ikea diasaskan.

Di samping itu, budaya sauna Nordik turut melambangkan titik permulaan satu kolaborasi yang menyatukan kepakaran kelengkapan rumah Ikea dengan seni cetak Marimekko.

Menurut Ketua Kreatif Ikea, Henrik Mos, kolaborasi dengan Marimekko adalah satu pilihan semula jadi untuk Ikea kerana kedua-duanya komited mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik di rumah anda.

"Koleksi BASTUA bermula dengan menumpukan kepada kesihatan dan kesejahteraan.

"Kolaborasi ini turut menonjolkan sensasi musim panas yang berterusan dan keindahan alam Nordik yang sederhana dalam perabot serta aksesori rumah," katanya.

KOLEKSI beg tahan lasak tampil dengan cetakan unik.
KOLEKSI beg tahan lasak tampil dengan cetakan unik.

Katanya, corak yang berani dan menarik yang ditonjolkan dalam koleksi BASTUA mencerminkan alam semula jadi dan landskap Finland.

Tambahan pula, ini adalah kali pertama Marimekko menghasilkan satu set cetakan secara eksklusif untuk tujuan kolaborasi.

Salah satu cetakan yang mencuri perhatian termasuk daun 'rhubarb' hiasan gergasi yang biasanya tumbuh di sebelah pondok sauna di Finland.

RAIKAN tetamu dengan koleksi BASTUA.
RAIKAN tetamu dengan koleksi BASTUA.

Motif ini digunakan dalam kebanyakan item koleksi Ikea termasuk beg FRAKTA yang ikonik.

Menurut Pengarah Kreatif di Marimekko, Rebekka Bay, penerapan intipati asal usul Finland Marimekko dan hubungan rapatnya dengan budaya sauna adalah bahagian penting dalam proses reka bentuk dan penciptaan cetakan BASTUA.

"Marimekko komited untuk menyuntik keceriaan dalam kehidupan harian orang ramai melalui cetakan dan reka bentuknya yang berani. Malah, kami sangat teruja untuk merealisasikan visi ini menerusi kolaborasi dengan Ikea," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 6:11 AM