Kuala Lumpur: Sebagai memperingati bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia, sekumpulan warga Malaysia yang menetap di beberapa negara Eropah tampil dengan projek nyanyian lagu Setia dan Sejahtera Malaysia.

Apa yang menarik, mereka bukanlah penyanyi profesional, namun komited menjayakan projek terbabit sebagai dedikasi semangat cintakan negara.

Walaupun berada di perantauan, mereka tidak lupa untuk menunjukkan semangat bulan kemerdekaan dengan cara sendiri. Inisiatif itu cukup mengagumkan apatah lagi mereka sebenarnya berada di tempat berbeza.

Ketua projeknya, Zainal Fitri Abdul Khair yang menetap di Stockholm, Sweden sejak 2008 berkata, projek itu turut mendapat bantuan daripada pemuzik profesional.

"Muzik video itu dihasilkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Tujuannya untuk sampaikan mesej kepada warga Malaysia di seluruh dunia.

"Tidak kira di mana pun kita berada di pelusuk dunia, Malaysia sentiasa dekat di hati," katanya.

Berkongsi mengenai pembikinan muziknya, Zainal bersyukur mendapat sokongan daripada beberapa pemuzik Orkestra Muda Filharmonik Petronas (PYPO) selain pemuzik Malaysia yang berada di Eropah.

"Susunan dan produksi menghasilkan 'minus one' lagu itu dibuat dari sifar. Sekali gus, susunan dihasilkan itu memang asli khas untuk projek kami ini.

"Beberapa pemuzik warga Malaysia di Eropah berganding bahu dengan pemuzik tempatan untuk merealisasikannya. Pasukan pemuzik dari Malaysia pun diwakili tiga ahli PYPO," katanya.

Zainal berkata, projek berkenaan sebenarnya sudah tercetus sejak tahun lalu. Disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, mereka laksanakannya secara maya saja.

"Projek ini bermula pada Oktober tahun lalu. Disebabkan penyanyi yang terbabit pun masing-masing berjauhan, justeru segala urusan dibuat menerusi pertemuan di alam maya saja.

"Untuk merealisasikannya, kami mengadakan mesyuarat dalam talian. Produksi muzik video pula dibuat dengan menggabungkan semua fail audio mahupun video yang dihantar setiap mereka," katanya.

Dalam muzik video terbabit, seramai lebih 15 orang menyumbangkan suara. Mereka adalah rakyat Malaysia yang menetap di Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Norway, Sweden, Switzerland dan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:40 PM