Warga emas meninggal dunia ketika hendak berurusan di kaunter Cawangan JPJ Bandar Baru Bangi. FOTO Ihsan Pembaca
Warga emas meninggal dunia ketika hendak berurusan di kaunter Cawangan JPJ Bandar Baru Bangi. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk berurusan di kaunter Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaidi Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.21 pagi.

"Kami dimaklumkan lelaki berusia 76 tahun berkenaan tidak sedarkan diri ketika berada di kerusi tempat menunggu di kaunter JPJ berkenaan.

"Pihak ambulans yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

"Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:36 PM