Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kejadian seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk berurusan di kaunter JPJ Cawangan Bangi, semalam.

JPJ menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan lelaki berusia 76 tahun itu diberikan layanan khas untuk berurusan dengan Pejabat JPJ berkenaan tanpa perlu beratur.

Menurut kenyataan, sebelum itu mangsa sudah diambil suhu badan dan didapati normal serta status MySejahtera menunjukkan mangsa lengkap suntikan vaksinasi.

"Dia dibawa ke kerusi ruangan menunggu pelanggan sebelum dipanggil untuk melaksanakan urus niaga JPJ.

"Semasa di ruangan menunggu, mangsa dikatakan tiba-tiba tidak sedarkan diri dan panggilan kecemasan (MERS 999) dibuat oleh Ketua Bahagian Pengurusan JPJ Cawangan Bangi.

"Sebuah ambulans bersama pasukan paramedik tiba dan memeriksa keadaan mangsa mengesahkan sudah meninggal dunia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, mayat dihantar ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk berurusan di kaunter cawangan JPJ, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaidi Hassan dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.21 pagi.

Berita berkaitan

Lelaki meninggal dunia ketika tunggu giliran di JPJ

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 11:10 AM