Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Pemandu sebuah treler 'ghaib' selepas kenderaan itu terbalik dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Seri Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian jam 1.10 tengah hari itu berlaku ketika treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun datang dari Plaza Tol Seri Putra menghala ke arah Bandar Bukit Mahkota.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler muatan baja itu membelok ke kanan untuk memasuki simpang arah ke Bukit Mahkota sebelum terbalik.

"Kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan menghalang satu laluan dari arah Bangi menuju ke arah Plaza Tol Seri Putra.

"Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan mana-mana kenderaan awam yang melalui jalan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

TRELER membawa muatan baja yang terbalik di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Seri Putra, Bangi, semalam. FOTO ihsan polis
TRELER membawa muatan baja yang terbalik di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Seri Putra, Bangi, semalam. FOTO ihsan polis

Mohd Zaid berkata, pemandu treler itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan sudah beredar dari lokasi kejadian.

"Kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada pemandu treler atau tidak.

"Pemilik treler itu juga sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan dan usaha mengesan pemandu treler terbabit sedang dijalankan," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Bangi ke lokasi kemalangan untuk membersihkan tumpahan minyak diesel dari tangki treler terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Khairil Azuat di talian 018-9007723 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 11:10 AM