GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih sekali gus menyaksikan jumlah mangsa menurun kepada 1,208 orang tengah hari ini, berbanding 1,870 orang pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, sehingga jam 12 tengah hari, 12 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi yang menempatkan 342 keluarga.

Beliau berkata, di Kuching hanya satu PPS masih dibuka dengan menempatkan 113 mangsa daripada 24 keluarga.

"Di Serian, kekal dengan 10 PPS masih yang menempatkan 317 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 1,088 orang.

"Begitu juga di Miri, yang kekal dengan hanya satu PPS yang menempatkan tujuh mangsa sekeluarga," katanya.

Satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Kuching ialah Dewan Masyarakat Haji Kamarrudin Segedup di Batu Kawa.

Manakala PPS yang masih dibuka di Serian ialah PPS Dewan Kampung Betong Kanowit, PPS Dewan Kampung Lintang Baru, PPS Dewan Baru Siniawan Jepon, PPS Gereja St Peter Kampung Soh, PPS SK Tanah Merah, PPS Dewan Kpg Rimba Padi, PPS SK Tanah Puteh, PPS Dewan Kampung Slabi Entukuh, PPS Dewan Balek Buk Janjun dan PPS Dewan Masyarakat Serian.

PPS yang masih dibuka di Miri pula ialah PPS Balai Raya Kampung Batu 1, Kuala Baram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 1:58 PM