KAWASAN di Bukit Tabur yang diteroka pihak tertentu. FOTO ihsan pembaca
KAWASAN di Bukit Tabur yang diteroka pihak tertentu. FOTO ihsan pembaca
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tanah di kawasan Bukit Tabur, Ampang, Selangor dipercayai milik persendirian namun tidak boleh dibangunkan kerana kecerunan yang memberi kesan buruk kepada muka bumi.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, beliau menyokong arahan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari supaya kawasan itu ditutup bagi menangani masalah penerokaan yang berlaku.

Beliau berkata, arahan Menteri Besar supaya kawasan itu ditutup adalah sangat positif bagi menangani masalah penerokaan berkenaan.

"Apa yang saya tak faham kenapa penduduk berdiam diri sekian lama semasa pembukaan hutan.

"Saya rasa perkara ini sudah selesai. Terima kasih MB Selangor," katanya sambil menjelaskan tiada keperluan isu itu diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia adalah tanah persendirian.

Menerusi Twitter semalam, Amiruddin yang mengulas isu penerokaan Bukit Tabur dilaporkan berkata kerajaan negeri mengalu-alukan aduan awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan.

Beliau dilaporkan berkata, hasil semakan dilakukan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak mendapati tiada kelulusan diberikan untuk sebarang aktiviti penerokaan yang dilakukan di kawasan Bukit Tabur.

"Pihak penguat kuasa sudah ke lokasi untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera.

"Kerja-kerja (penerokaan) itu tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Katanya, dalam isu Bukit Tabur, ramai pihak membangkitkan soal berkaitan penguatkuasaan.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, terdapat beberapa gambar menunjukkan berlaku kerja-kerja penerokaan di kawasan Bukit Tabur yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 10:26 AM