Amir Abd Hamid


Ampang: Umpama mengundang malapetaka. Itu kebimbangan kira-kira 15,000 penduduk merangkumi 36 taman perumahan di Kemensah dan Melawati di sini, berhubung isu Bukit Tabur yang ditarah tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Residensi Kemensah, Mohd Fazil Abdullah berkata, lokasi ditarah yang berkedudukan tinggi berpotensi menjadi bencana kepada penduduk.

"Jika hujan lebat, kita boleh lihat banjir lumpur. Apabila menyaksikan tragedi banjir lumpur di Yan, Kedah, baru-baru ini, kita bimbang berlaku sama di sini.

"Kami kesal terdapat kerja pembangunan tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di atas tanah persendirian Lot 758, Lot 759 mukim Hulu Klang daerah Gombak di kawasan itu," katanya.

Mohd Fazil ditemui ketika membawa wakil media meninjau kawasan tarahan Bukit Tabur yang turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semalam.

Menurutnya, penduduk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut campur tangan.

"Sebabnya kita nampak kalau setakat bersihkan kawasan, itu tak mungkin. Ini ada lain cerita di belakangnya.

"Tempat itu adalah sebahagian daripada lokasi rabung kuarza tulen sepanjang 16 kilometer dan seluas 200 meter itu, terpanjang di dunia, termasuk dalam jajaran itu.

"Sebarang pemotongan tanah secara terbuka akan mengganggu status penyenaraiannya sebagai tapak warisan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya.

Seorang penduduk, Datuk Azlam Shah Alias berkata, kawasan Bukit Tabur adalah lokasi tanah sangat sensitif terletak bersebelahan Bukit Antarabangsa yang diketahui umum berlaku beberapa kali tanah runtuh termasuk tragedi Highlands Tower tumbang.

Menurutnya, sepanjang tinggal kira-kira 20 tahun di Kemensah, terdapat pengaliran air dari bukit.

"Tengok aliran air pun boleh tahu terdapat potongan bukit berdasarkan warna air yang berwarna coklat.

"Sekiranya berlaku tanah runtuh, air sungai yang ada mungkin akan cetek dan akhirnya menyebabkan banjir di kawasan kediaman.

"Kami bukanlah menentang pembangunan. Tetapi, kami mendesak pihak pemilik tanah mesti dapatkan kelulusan daripada kerajaan dan yang pentingnya mesti ada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada badan bebas diiktiraf," katanya.

Menurutnya, lokasi tarahan di Bukit Tabur itu juga terletak kira-kira dua kilometer daripada Empangan Klang Gates yang membekalkan air untuk sebahagian besar warga ibu kota.

Sementara itu tinjauan Harian Metro mendapati kawasan sekitar lereng Bukit Tabur menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah termasuk pendaki serta penggemar alam semula jadi.

Selain itu ia turut menjadi lokasi kegemaran peminat sukan ekstrem seperti motosikal lasak (motocross), penunggang kenderaan pelbagai permukaan (ATV) dan kumpulan pacuan empat dan berbasikal.

Pengunjung Muhammad Naqib Hamzah Fansuri, 21, berkata perbuatan menarah bukit dan hutan tanpa kawalan pastinya akan mengganggu ekosistem.

"Ada haiwan yang sudah tiada habitat semula jadi mungkin akan keluar dan mengganggu kawasan kediaman manusia pula.

"Sejak tular isu Bukit Tabur baru saya perasan bahagian atasnya sudah diteroka, tahu-tahu sudah botak.

"Ramai naik bukit itu untuk beriadah, jadi hilanglah satu tempat beriadah jika terus diteroka tanpa kawalan," kata pelajar Kolej Professional Mara Beranang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:16 PM
Keadaan lereng bukit yang dibuat jalan masuk untuk menuju ke tanah persendirian ketika tinjauan di Bukit Tabur, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Pembaca
Keadaan lereng bukit yang dibuat jalan masuk untuk menuju ke tanah persendirian ketika tinjauan di Bukit Tabur, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Pembaca