ANGGOTA penyelamat mengangkat mangsa yang cedera untuk dihantar ke Hospital Ampang, semalam. FOTO BBP Ampang
ANGGOTA penyelamat mengangkat mangsa yang cedera untuk dihantar ke Hospital Ampang, semalam. FOTO BBP Ampang
Mohd Azam Shah Yaacob

Ampang: Hasrat seorang wanita menakluk dua puncak Bukit Tabur, di sini, bersama dua rakannya tidak kesampaian apabila tergelincir dan terjatuh ke cenuram sedalam 30 meter, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi mangsa, Lum Shook leng, 37, yang cedera di bahagian kepala, pinggang dan lutut, bagaimanapun diselamatkan selepas rakannya membuat panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim berkata, mangsa tergelincir ke dalam cenuram ketika mahu mendaki puncak kedua Bukit Tabur.

Katanya, disebabkan kecederaan dialami, mangsa tidak mampu memanjat semula dan rakannya terpaksa menghubungi bomba untuk memohon bantuan.

“Berdasarkan maklumat, mangsa bersama dua rakannya mula mendaki pada jam 6 pagi semalam (kelmarin) untuk menakluk puncak Bukit Tabur.

“Sebaik berjaya menakluk puncak Tabur East, mereka meneruskan pendakian bagi menakluk puncak Tabur West sebelum mangsa tiba-tiba tergelincir ke bawah cenuram dan mengalami kecederaan,” katanya.

Ariff berkata, bertindak atas maklumat diterima, sekumpulan penyelamat membabitkan lapan anggota BBP Ampang, empat anggota polis, tiga anggota Jabatan Hutan, dua anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan seorang anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dikerahkan untuk menyelamat mangsa.

Katanya, pasukan itu tiba di kawasan mangsa terjatuh jam 8.27 pagi dan membawa keluar wanita terbabit dari kawasan berkenaan pada jam 12.35 tengah hari.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan tidak mampu bergerak menyebabkan pasukan penyelamat mengusungnya keluar secara bergilir-gilir.

“Mangsa dibawa keluar dari kawasan itu jam 12.35 tengah hari dan dibawa ke Hospital Ampang untuk dirawat pasukan PBSM yang menyertai operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:20 AM