Amir Abd Hamid


Ampang: Pihak berkuasa perlu menyediakan akses laluan lain jika mahu menutup laluan utama di Bukit Tabur, dekat sini, bagi memudahkan pemilik tanah lain.

Seorang pemilik tanah berhampiran lokasi kontroversi Bukit Tabur, di sini, yang didakwa ditarah tanpa kebenaran, Datuk Azhar Ahmat berkata, adalah tidak adil kepada pemilik lain tanah di kawasan itu jika laluan utama ditutup oleh pihak berkuasa disebabkan kesalahan seorang pemilik tanah.

"Kalau dia buat salah, pihak berkuasa kena tangani dia. Tetapi tak boleh disebabkan hanya satu kelompok manusia buat (penarahan) di satu lot, tuan tanah lain yang selama ini menggunakan akses jalan masuk sama, dinafikan hak apabila jalan ditutup.

"Jalan ini sudah lebih 30 tahun, cuma dia buat pembesaran sahaja dalam dua tiga minggu lalu," katanya yang membeli tanah berstatus pertanian seluas 0.8 hektar di kawasan berkenaan sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, apabila ada orang yang mahu mengeluarkan kos untuk melebarkan jalan, pemilik tanah lain yang menggunakan akses itu amat bersyukur.

Mengenai isu alam sekitar, katanya, dia amat menyokong sebarang pembangunan perlu dibuat mengikut undang-undang.

"Katalah cerun itu dikatakan kategori dua, tiga atau empat sekalipun, kena ikut kalau tak boleh potong," katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat diterima wartawan, operasi tindakan penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan esok ke atas kerja tanah dan penebangan pokok tanpa kelulusan di lokasi itu.

Operasi dijangka bermula jam 10 pagi membabitkan Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Kejuruteraan dari MPAJ selain Pejabat Tanah dan Daerah Gombak.

Isu berkenaan Bukit Tabur turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menerusi akaun Twitter semalam, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan negeri mengalu-alukan aduan awam dan akan meningkatkan tahap penguatkuasaan.

Beliau dilaporkan berkata, hasil semakan dilakukan pihak MPAJ dan Pejabat Tanah Daerah Gombak mendapati tiada kelulusan diberikan untuk sebarang aktiviti penerokaan yang dilakukan di kawasan Bukit Tabur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:26 PM