JENGKAUT yang digunakan pemilik tanah Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor untuk melakukan kerja-kerja tanah disita MPAJ, hari ini. FOTO ihsan MPAJ
JENGKAUT yang digunakan pemilik tanah Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor untuk melakukan kerja-kerja tanah disita MPAJ, hari ini. FOTO ihsan MPAJ
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kerja-kerja tanah tanpa kelulusan di Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor, termasuk meletakkan batu penghadang di lokasi bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke kawasan berkenaan.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kerja-kerja penerokaan tanah tanpa kelulusan berlaku di lot tanah berkenaan yang merupakan tanah pertanian selepas tular di media sosial.

"Kami mengambil maklum berhubung perkara itu dan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan di Lot 759 itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Pihak pemilik tanah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut (excavator).

"Hasil semakan dilakukan juga mendapati pemilik tidak membuat sebarang permohonan untuk membersihkan kawasan tanah lot berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, tindakan penguatkuasaan itu adalah selaras dengan kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133).

"Kami menyita sebuah jengkaut dan meletakkan batu penghadang di lokasi berkenaan bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke kawasan itu.

"MPAJ memandang serius mengenai isu ini dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan tidak ada kelulusan diberikan untuk sebarang aktiviti yang dilakukan di kawasan berkenaan.

Hari ini tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan berlaku kerja-kerja penerokaan di kawasan sekitar Bukit Tabur.

Berita berkaitan:

  • Aktiviti penerokaan di Bukit Tabur tiada kelulusan - MB
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 10:03 PM