Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor akan menerima 10,000 vaksin dos tunggal iaitu CanSino yang dibekalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu depan bagi merancakkan Program Outreach Pemberian Vaksin Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, vaksin itu akan diberikan kepada penduduk pedalaman yang mempunyai kesukaran akses perjalanan ke pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk masyarakat Orang Asli.

Katanya, vaksin ini juga memberi kemudahan kepada petugas barisan hadapan sekali gus mencapai sasaran 100 peratus komuniti dewasa lengkap divaksin akhir Oktober ini.

"Saya yakin bila kita terima vaksin CanSino minggu ini, ia akan merancak dan memperluaskan program Outreach.

"Pada peringkat awal kita merancang memberikan vaksin jenis ini di kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli, namun disebabkan vaksin ini lewat tiba kita sudah menggunakan vaksin sedia ada.

"Saya percaya pada bulan-bulan akan datang kita perlu teruskan usaha untuk dapatkan lebih banyak vaksin," katanya pada sidang media selepas melawat Program Outreach Pemberian Vaksin Covid-19 di Dewan Taman Perbadanan Islam, di sini, hari ini.

Hasni berkata, sasaran peratusan penerima vaksin dewasa mampu dicapai mengikut sasaran pada Oktober ini.

Katanya, Johor sudah mula beralih kepada perancangan menyusun dan melihat mereka yang berusia di bawah 18 tahun untuk divaksinkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan pengalaman dan penjadualan vaksin supaya masalah sama tidak berulang.

"Contohnya buka PPV tetapi jumlah kehadiran di PPV tidak seperti dirancang.

"Saya percaya pemberian vaksin Covid-19 di bawah 18 tahun lebih mudah kerana golongan ini berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau sekolah.

"Penyusunan pemberian vaksin ini, saya percaya akan lebih teratur untuk memulakan seberapa segera vaksin kepada bawah 18 tahun," katanya.

HASNI (kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin dos pertama yang juga OKU, Mahadzeer Abd Jalal, 45 pada Program Outreach di Dewan Taman Perbadanan Islam, hari ini. FOTO Omar Ahmad.
HASNI (kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin dos pertama yang juga OKU, Mahadzeer Abd Jalal, 45 pada Program Outreach di Dewan Taman Perbadanan Islam, hari ini. FOTO Omar Ahmad.

Hasni berkata, fokus utama kerajaan negeri pada ketika ini ialah pemberian vaksin dan meningkatkan tahap infrastruktur kesihatan.

Katanya, ia termasuk menambahbaik dan mengukuhkan keperluan peralatan kesihatan, katil dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi persediaan peralihan dari pandemik kepada endemik.

"Kita yakin Johor boleh mencapainya, jika dilihat kepada indikator ini apa yang perlu kita usahakan adalah infrastruktur kesihatan, peralatan, katil dan PKRC, itu yang perlu diperkukuhkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 12:35 PM