HASNI (tengah) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan pasukan keselamatan menyambut ketibaan kumpulan vaksin pertama negeri Johor di Tambak Johor, kelmarin. FOTO ihsan KKM
HASNI (tengah) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan pasukan keselamatan menyambut ketibaan kumpulan vaksin pertama negeri Johor di Tambak Johor, kelmarin. FOTO ihsan KKM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, barisan EXCO Johor dan kepimpinan tertinggi kerajaan Johor menjadi kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin berkenaan di negeri ini dalam masa terdekat.

Hasni berkata, kerajaan Johor hanya menanti kata putus dan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum proses vaksinasi dijalankan terhadap kumpulan pertama berkenaan.

"Dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan, rakyat termasuk rakyat Johor mampu menjalani kehidupan dengan lebihyakin dan selamat serta melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

"Kerajaan negeri juga sudah bersedia untuk melaksanakan Program ImunisasiCovid-19 Kebangsaan termasuk mengenal pasti pusat vaksinasi di setiap daerah serta menyediakan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) yang terlatihuntuk memberi suntikan vaksin.

"Insya Allah, saya dan barisan EXCO serta kepimpinan tertinggi kerajaan Johor akan menjadi kumpulan pertama di negeri ini yang menerima suntikan vaksin berkenaan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, 73,710 dos

vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dibawa masuk melalui jalan darat dari Singapura ke negeri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata, ia bagi membolehkan proses vaksinasi di negeri ini dijalankan mengikut jadual ditetapkan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Terdapat empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) diwartakan di Johor dengan 54 lagi adalah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kehadiran vaksin berkenaan pastinya membawa sinar dan harapan baharu bagi negara dan negeritermasuk Johor dalam memerangi dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang sudah lebih setahun menghantui dunia.

"Bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin ini selamat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara kita, esok," katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, menerusi Program Imunisasi ini, beliau berharap ia dapat meningkatkan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, sekali gus merancakkan lagi ekonomi rentas sempadan.

"Apabila rakyat kedua-dua negara sudah diberi suntikan vaksin, maka pergerakanrentas sempadan akan diyakini lebih selamat.

"Saya juga yakin menerusi pemberian vaksin ini, ekonomi Negeri Johor dapat pulih lebih awal berbanding negeri-negeri lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 12:59 PM