GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kempen #MYBaikHati Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menawarkan perkhidmatan kutipan peranti di seluruh Semenanjung Malaysia, sekaligus memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyumbangkan peranti yang tidak lagi digunakan kepada pelajar yang memerlukannya.

#MYBaikHati adalah insiatif berterusan yang mengumpulkan telefon pintar, tablet dan komputer riba untuk diguna semula serta diedarkan kepada pelajar kategori bawah 40 (B40).

Inisiatif itu bertujuan membantu pelajar daripada isi rumah B40 memenuhi keperluan pembelajaran dalam talian dan kelangsungan pendidikan mereka.

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan kutipan percuma itu adalah mudah dan selamat bagi penderma di samping memastikan pelajar yang layak menerima peranti secepat mungkin.

"Pihak yang berminat boleh menggunakan perkhidmatan ini dan menyumbangkan peranti berteknologi 4G dengan melayari laman web #MYBaikHati untuk mendaftarkan sumbangan.

"Selain itu, penderma perlu melengkapkan butiran diri dan muat naik gambar peranti berkenaan," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, peranti yang boleh didermakan adalah telefon pintar, tablet berteknologi 4G, komputer riba dengan sistem operasi Window 8 ke atas serta Chromebook.

"Peranti mestilah masih berfungsi, tidak mempunyai kerosakan yang besar dan lebih baik jika disertakan sekali dengan pengecas.

"Selepas mendaftar, kakitangan Digi akan menghubungi penderma dalam tempoh seminggu untuk mengaturkan perkhidmatan kutipan manakala penderma di Lembah Klang juga boleh menyerahkan peranti di Digi Store Klang atau Cheras," katanya.

Katanya, selepas penyerahan, peranti itu akan dinilai, diperbaharui dan seterusnya diedarkan kepada pelajar B40 yang layak.

"Selain itu, Digi juga mempunyai pelbagai tawaran sambungan yang menyokong keperluan pembelajaran dalam talian pada masa ini, antaranya Subsidi Jaringan Prihatin dengan rebat RM180 untuk pelan prabayar dan pascabayar atau subsidi peranti RM300.

"Turut disediakan, Pakej Data Khas Belia dilengkapi internet berkelajuan tinggi 15 gigabyte (GB) dengan hanya RM20 sebulan, boleh didapati hingga 31 Oktober 2021," katanya.

Menurutnya, selain itu pihaknya menawarkan pemilikan telefon pintar serendah RM1 di bawah pakej Gemilang Deals.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen #MYBaikHati, layari http://www.digi.com.my/yellow-heart/MyBaikHati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 12:10 PM