Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Syarikat rangkaian telekomunikasi terkemuka, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) melancarkan kaji selidik 'Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak Covid-19: Nilai dan Cabaran' Yellow Heart.

  Kajian selidik berkenaan bertujuan mengenal pasti bagaimana pelajar sekolah di Malaysia menyesuaikan diri dengan gaya hidup digital yang baharu semasa pandemik ini. Ini termasuk bagaimana situasi tersebut mempengaruhi literasi dan daya tahan digital pelajar dalam menghadapi potensi risiko dalam talian.  

  Digi mensasarkan untuk mengumpul maklum balas daripada sekurang-kurangnya 2,000 pelajar sekolah di seluruh negara berumur 10 hingga 18 tahun.

  Kaji selidik ini akan dijalankan selama sebulan bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa pada minggu hadapan. Ia akan dilakukan secara dalam talian di https://www.surveymonkey.com/r/YHSurvey2021?lang=ms sehingga 6 September 2021.

  Melihat kehidupan kanak-kanak yang menjadi 'digital secara automatik' akibat pandemik ini, Ketua Bahagian Kelestarian Digi Philip Ling berkata, amat penting untuk memahami apa yang sedang dihadapi oleh para pelajar, penjaga dan guru pada masa ini.

  "Salah satu objektif utama kaji selidik ini adalah mengajukan soalan penting kepada kanak-kanak dan belia mengenai pengalaman serta risiko yang mereka hadapi semasa dalam talian.

  "Seterusnya, kita  boleh menggunakan maklum balas yang diterima untuk merangka inisiatif yang lebih berkesan dalam menangani isu tersebut, termasuklah membantu menambah baik pengalaman pembelajaran serta aktiviti riadah dalam talian mereka," katanya.

  Kaji selidik ini adalah kajian gaya hidup digital terbaharu Digi akan dijalankan dengan kerjasama Universiti Sunway sebagai rakan analisis penyelidikan, serta AI Talent-PDC dan Kelab Lions Sunway Damansara Metro sebagai rakan pelaksana.

Sebelum ini, Digi berjaya mengumpul maklumat berkaitan dengan tahap kefahaman pelajar mengenai buli siber melalui kaji selidik "Digi Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition" yang diadakan pada 2018. 

Melalui inisiatif Yellow Heart, Digi menggalakkan penggunaan internet yang selamat dan mendukung usaha membina daya tahan digital dalam kalangan pelajar sekolah.   

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:00 PM