FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mary Victoria Dass


LELAKI tempatan yang merempuh pegawai Imigresen menggunakan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, pada 8 Januari lalu, didenda RM4,100.

S Jeganes, 35, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas PATI Pekan Nenas, Pontian, hari ini.

Jeganes didakwa mengikut Seksyen 2(2) dan 12(1)(i) Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan didakwa melakukan kesalahan itu di laluan keluar motosikal di BSI.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa gagal mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai Imigresen ketika meninggalkan negara ini ke Singapura, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menghalang tugasan tiga pegawai bertugas di Kawalan Imigresen, BSI.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tertuduh melepasi Kaunter Pemeriksaan Motosikal 18 di Zon A (laluan keluar) dan tidak berhenti serta dengan sengaja gagal mengemukakan pasport kepada pegawai bertugas.

Tindakan itu menyebabkan dua pegawai imigresen cuba menahan motosikalnya supaya berhenti menyerahkan pasport, namun ketika berusaha melepasi sekatan, tertuduh bertindak agresif dengan merempuh seorang pegawai menyebabkan pegawai itu cedera dan dihantar ke hospital.

Hakim, Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhi hukuman denda RM1,800 atau penjara sebulan bagi kesalahan pertama, manakala denda RM2,300 atau penjara sebulan bagi kesalahan kedua. Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan dan tidak dipenjarakan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Imigresen Sarvena Giman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, seramai 12 lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 41 tahun yang ditahan menerusi Ops Kutip pada 9 Januari lalu mengaku salah di mahkamah sama atas tuduhan gagal mengemukakan pasport kepada pegawai Imigresen ketika mahu meninggalkan negara ini di laluan motosikal di BSI.

Seramai 10 penunggang motosikal dan dua pembonceng didakwa mengikut Seksyen 2(2) Akta 150 kerana gagal mengemukakan pasport mereka.

Semua penunggang motosikal mengaku bersalah dan masing-masing didenda antara RM1,700 hingga RM1,800, manakala pembonceng didenda RM1,400.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:42 PM