ANGGOTA JPJ membantu  membersihakan rumah penduduk yang dilanda banjir di Yan. FOTO ihsan JPJ
ANGGOTA JPJ membantu membersihakan rumah penduduk yang dilanda banjir di Yan. FOTO ihsan JPJ
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantikan dokumen rosak atau hilang secara percuma bagi mangsa banjir di Titi Hayun, Yan, Kedah bermula hari ini sehingga 16 September.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya akan menggantikan dokumen yang rosak seperti Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Sijil Pemilikan Sementara (VOC).

Menurutnya, pemilik perlu membuat laporan polis berhubung kehilangan atau kerosakan dokumen terbabit sebelum membuat permohonan di JPJ.

Katanya, pemilik juga perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan dokumen baharu di mana-mana pejabat kaunter JPJ negeri atau cawangan di Kedah.

"Seiring dengan situasi bencana banjir ini, JPJ mengambil pendekatan untuk memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terbabit dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa banjirsehingga bencana ini terkawal sepenuhnya.

"Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani fenomena banjir di kawasan yang terjejas, JPJ di seluruh negara akan berada dalam keadaan siap siaga untuk menghulurkan apa juga bentuk bantuan sama ada dalam bentuk tenagaataumengatur-gerak aset JPJ sekiranya diperlukan.

"JPJ dan seluruh warga kerjanya mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:08 PM