LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu Perodua Myvi kelabu memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya yang tular di media sosial hari ini turut menyebabkan kemalangan sebuah kereta lain yang cuba mengelak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Wangsa Maju menghala ke arah Putrajaya dipandu secara melawan arus.

Menurutnya, tindakan pemandu yang memandu secara melawan arus menyebabkan sebuah kereta Proton Wira yang sedang memandu di laluan sama terbabit kemalangan kerana cuba mengelak.

"Justeru itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama pemilik akaun twitter Fareez Azman (@FareezAzmann) yang memuat naik video itu dan orang ramai yang melihat kejadian tampil ke Balai JSPT Kuala Lumpur bagi membantu mengesan kenderaan itu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran," katanya dalam kenyataan malam ini.

Harian Metro hari ini melaporkan polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan dilapor berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang jam 1.16 tengah hari berkaitan satu rakaman videoyang memaparkan sebuah kereta terbabit memandu melawan arus.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

  • Pemandu Myvi kelabu memandu menentang arus sedang dikesan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 9:36 PM