TANGKAP layar video tular.
TANGKAP layar video tular.
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 1.16 tengah hari berkaitan satu rakaman video yang memaparkan sebuah kereta terbabit memandu melawan arus.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan, mendapati rakaman video berdurasi 19 saat yang tular itu berlaku sekitar jam 11 pagi di Lebuhraya MEX.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Mex Seri Kembangan mendapati pemandu terbabit melawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan.

"Semakan di Plaza Tol Putrajaya dan R&R Seri Kembangan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan sedang mengesan pemandu terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:18 PM