FOTOFIT yang diedarkan polis.
FOTOFIT yang diedarkan polis.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis mengedarkan lakaran wajah suspek dipercayai terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada 26 Ogos lalu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes samun ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

"Imej pengecaman fotofit penjenayah yang dipadankan berdasarkan keterangan saksi.

"Pihak polis ingin memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan identiti suspek untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching pada 26 Ogos lalu.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di HKL.

Tangan kanan mangsa wanita terbabit juga terpaksa dipotong akibat kecederaan dialaminya dalam kejadian itu.

Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:54 PM