Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis akan mengedarkan lakaran wajah suspek dipercayai terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada 26 Ogos lalu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) paling hampir dengan lokasi kejadian berkenaan.

"Bagaimanapun, rakaman CCTV terbabit jauh dari lokasi kejadian dan keadaan gelap menyukarkan kami untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dalam kes itu.

"Pada masa sama, kami sudah mengambil keterangan mangsa dan mendapatkan lakaran wajah suspek," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

BEH Eng Lai. FOTO Aswadi Alias
BEH Eng Lai. FOTO Aswadi Alias

Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching pada 26 Ogos lalu.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di HKL.

Tangan kanan mangsa wanita terbabit juga terpaksa dipotong akibat kecederaan dialaminya dalam kejadian itu.

Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 1:35 PM