DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) di negara ini secara keseluruhan mencatatkan bacaan kurang dari 1.0 bagi tempoh dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai itu diharap akan terus menunjukkan penurunan.

"Ini adalah petanda positif kerana meskipun lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka kebelakangan ini, keadaan kelihatan terkawal dan menunjukkan ia bertambah baik secara perlahan.

"Situasi Covid-19 dalam negara diharap terus berkembang baik setara dengan peningkatan kadar vaksinasi di samping pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan dengan 19,378 kes hari ini berbanding 20,988 kes semalam.

Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif 1,805,382 kes direkodkan setakat ini.

"Daripada 19,378 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 332 kes (1.7 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 19,046 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Secara keseluruhan, 8,847 kes (45.7 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada sejarah vaksinasi, 4,638 kes (23.9 peratus) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 5,893 kes (30.4 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,613 kes, diikuti Sarawak (2,464 kes); Sabah (2,404 kes); Johor (2,331 kes); Pulau Pinang (1,726 kes); Kedah (1,470 kes); Perak (1,389 kes); Kelantan (1,356 kes) dan Kuala Lumpur (740 kes).

"Selain itu, Pahang mencatatkan 559 kes; Terengganu (532 kes); Melaka (399 kes); Negeri Sembilan (270 kes); Perlis (80 kes); Putrajaya (41 kes) dan Labuan (empat kes).

"Sebanyak 22,399 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 1,528,672 kes daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, sebanyak 330 kes kematian dilaporkan membabitkan 268 warganegara dan 62 bukan warganegara dengan 93 kes direkodkan adalah kes kematian di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan 17,521 kes kematian.

"Sebanyak 975 kes pula memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) daripada jumlah itu 46 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:32 PM