Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kementerian Kewangan (MoF) menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 sebagai usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah ini bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, di mana KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan, serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutamanya dalam kalangan pelabur.

"Melalui penerbitan KPB, rakyat berpeluang meneliti beberapa penanda aras termasuk termasuk tinjauan ekonomi berdasarkan kepada senario ekonomi global, semakan ke atas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan unjuran ekonomi bagi tahun 2022 serta sasaran fiskal untuk 2021/2022.

"Selain itu, ia juga akan menyatakan status prestasi hasil percukaian dan inisiatif cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2021.

"Dokumen KPB juga meliputi pengurusan ketirisan hasil, komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa serta strategi meningkatkan hasil dan memantapkan sistem percukaian; dan status perbelanjaan 2021 dan faktor-faktor dalam mengoptimum dan mengawal perbelanjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPB juga memberi gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil serta manfaat yang bakal dinikmati daripada Bajet 2022, yang akan dirangka berdasarkan beberapa matlamat.

"Antara matlamat Bajet 2022 adalah melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian; membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

"MOF yakin bahawa penerbitan KPB akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 3:20 PM