Timbalan Menteri Kewangan I Shahar Abdullah (kiri sekali) meninjau operasi bot tambang ketika sesi 'walk about' di Jeti Pelancongan, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Timbalan Menteri Kewangan I Shahar Abdullah (kiri sekali) meninjau operasi bot tambang ketika sesi 'walk about' di Jeti Pelancongan, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Kementerian Kewangan menerima kira-kira 50,000 maklum balas rakyat Malaysia berkaitan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 selepas diumumkan 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Shahar Abdullah berkata, semua input terbabit sedang diteliti pihaknya bagi proses penyediaan Bajet 2022 yang dijangka dibentang pada 29 Oktober ini.

"Setakat hari ini hampir 50,000 penyertaan diterima daripada rakyat yang memberi komen, pandangan dan idea, selain ada juga yang memberi proposal.

"Fokus maklum balas mereka tiga perkara termasuk bantuan rakyat, suntikan modal peniagaan dan cadangan langkah-langkah fiskal," katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan di Jeti Pelancongan di sini, hari ini.

Shahar berkata, selepas 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, ini pertama kali Kementerian Kewangan memperkenalkan KPB bagi membolehkan rakyat 'Keluarga Malaysia' turut serta memberi pandangan.

"Ia (KPB) adalah langkah ke hadapan dan bersejarah dilakukan kementerian iaitu memberitahu rakyat lebih awal berkaitan langkah yang akan dilakukan dalam Bajet 2022.

"Selalunya rakyat hanya akan mengetahui perkara itu pada hari bajet dibentangkan di Parlimen, tetapi tidak pada kali ini," katanya

Sementara itu ketika mengulas perkara berkaitan, beliau berkata, kerajaan memfokuskan kepada tiga aspek penting dalam menyediakan Bajet 2022 dalam usaha mempertingkatkan sektor ekonomi negara ketika berdepan ancaman Covid-19.

"Tiga aspek yang menjadi keutamaan kerajaan bagi penyediaan bajet tahun hadapan pastinya rakyat, perniagaan dan ekonomi.

"Pelancongan yang juga sebahagian sektor perniagaan dan menyumbang 15.9 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2019 tidak akan dikesampingkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 3:18 PM