Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MoF) komited untuk menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MoF menyokong penuh objektif RMK-12 yang bertujuan mengembalikan pertumbuhan ekonomi ke landasan mampan, memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.

"Peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) untuk RMK-12 dianggarkan berjumlah RM400 bilion dan ini peningkatan ketara berbanding RM248.5 bilion bagi RMK-11.

"Peruntukan DE bagi Bajet 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosio-ekonomi dan agenda pembangunan negara.

"Antara fokus Bajet 2022 untuk memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan antara lainnya dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam.

"Sehubungan itu, Bajet 2022 akan menyokong strategi RMK-12 untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti ICU, termasuk melalui usahasama dengan penyedia kesihatan swasta," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, fokus lain termasuk membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman, terutama dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri.

Beliau berkata, selaras dengan tema RMK-12 iaitu Keluarga Malaysia, Makmur, Inklusif, Mampan, MoF akan menyelaraskan bidang keutamaan Bajet 2022 dengan fokus utama RMK-12.

"Bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk membiayai semua program pembangunan di bawah RMK-12, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.

"Bagi jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor ekonomi dan memastikan pemulihan mampan.

"Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, namun kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana," katanya.

Selain itu, cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau (FRA) juga akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

Katanya, keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Tengku Zafrul berkata, keutamaan ini bukan sahaja akan dilaksanakan selari dengan teras RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tetapi juga akan berteraskan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah bagi mendepani situasi Covid-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:01 AM