Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Penduduk Pulau Aman, di sini mencapai imuniti kelompok selepas semua penduduk dewasa yang berusia 18 tahun ke atas lengkap menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 melalui program 'Outreach' vaksinisasi yang diadakan hari ini.

Sebelum itu, Pulau Aman dikategorikan sebagai Zon Hijau Covid-19 selepas didapati tiada penularan virus di kawasan berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Saidi Abd Majid, berkata, bagaimanapun penduduk masih disaran untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun sudah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.

"Kes di luar masih meningkat dan memerlukan kita berjaga-jaga, tambahan pula kawasan kita di sini kecil dengan kependudukan hanya 253 orang.

"Walaupun sudah lengkap dua dos kita masih perlu berwaspada kerana belum tahu tahap keberkesanan vaksin ini dan masih perlu patuh SOP.

"Bagaimanapun, kita berasa lega dan lebih selamat apabila menerima vaksin ini bagi menjalani kehidupan seharian antaranya keluar dari pulau ini untuk melakukan urusan penting seperti membeli barangan keperluan nelayan keluar untuk membeli petrol dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada program suntikan imunisasi itu, di sini, hari ini.

Seramai 156 penduduk pulau berkenaan lengkap menerima suntikan dos vaksin Covid-19, sekali gus kawasan itu mencapai imuniti kelompok ditetapkan.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Saidi berkata, beliau berterima kasih kepada semua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang dari jauh untuk memberikan suntikan imunisasi.

"Buat pengetahuan semua, Pulau Aman dalam zon hijau Covid-19 dan kita memang menjaga status ini apabila tidak membenarkan orang luar masuk ke kawasan ini.

"Apabila industri pelancongan dapat dibuka semula nanti, kita akan melihat dahulu dan tidak akan tergopoh gapah kerana jika boleh kita mahu virus ini pergi dahulu baharulah kita buka supaya keadaan lebih selamat.

"Pada masa ini, penduduk diharap bersabar dan mencari dahulu rezeki apa yang ada di pulau ini kerana kesihatan adalah perkara utama," katanya.

Antara penduduk yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Outreach Pemberian Vaksin oleh  Unit Bergerak Vaksinasi  Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS) di Pulau Aman.  FOTO DANIAL SAAD
Antara penduduk yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Outreach Pemberian Vaksin oleh Unit Bergerak Vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS) di Pulau Aman. FOTO DANIAL SAAD

Sementara itu, Penduduk Muhammad Azrul Adam, 22 berkata dia bersyukur selepas dia bersama enam ahli keluarga termasuk ibu bapanya sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Alhamdulillah apabila ada program vaksin terus ke komuniti seperti ini memberi kemudahan kepada penduduk pulau ini mendapatkan suntikan imunisasi.

"Jika tidak golongan seperti saya giliran untuk mendapat vaksin pasti lambat tetapi dipermudahkan sekali gus menjadikan penduduk pulau ini mencapai imuniti kelompok.

"Suntikan ini juga melindungi diri saya dan keluarga yang mengusahakan perniagaan makanan apabila kami dapat mengendalikan perniagaan dengan lebih selamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:12 PM