Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri membenarkan pemilik premis restoran meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima ketika waktu beroperasi sepanjang pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan terbabit dilaksanakan berikutan Sabah mencapai nilai ambang vaksinasi penuh lebih 40 peratus populasi dewasanya pada semalam.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menetapkan prosedur operasi standard (SOP) larangan penggunaan kaki lima dan ruang legar restoran untuk 'dine in'.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan premis restoran memasang meja di ruang legar atau kaki lima.

"Kebenaran terbabit haruslah dengan syarat sudah menyewa tapak tersebut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga tertakluk kepada SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Ketetapan ini berkuat kuasa bermula 2 September ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, jumlah kes harian Covid-19 di negeri itu hari ini kekal dengan empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 2,430 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 150,273 kes.

"Sebanyak 38 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu Sandakan dan Keningau mencatatkan tujuh kes, Kota Kinabalu (6), Penampang dan Tawau (4), manakala Semporna, Pitas, Papar, Kudat, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital adalah 2,415 menjadikan jumlah kumulatif 117,344 orang.

"Seramai 4,885 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,545 orang di hospital, 3,283 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 51 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS), manakala enam orang di fasiliti swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 9:45 PM