GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu Covid-19 berpunca daripada acara makan malam yang diadakan di sebuah restoran di Tawau.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu itu sudah mencatatkan sebanyak 17 kes.

"Terdapat satu kluster baharu direkodkan pada hari ini (semalam) iaitu Kluster Taman Ria Enam di daerah Tawau mencatat empat kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 17 kes.

"Kes indeks adalah wanita berusia 46 tahun yang tidak bergejala tetapi dikesan positif melalui saringan sebelum menjalani prosedur kemoterapi di salah sebuah pusat perubatan di Tawau.

"Hasil penelitian, kes indeks bersama ahli keluarganya mengadakan acara makan malam yang disertai 20 orang di salah sebuah restoran pada 5 Mac lalu. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri itu turut berkata, jumlah kes Covid-19 kekal kekal dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 adalah sebanyak 31 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,001 kes.

Mengulas mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi memberitahu seramai 3,168 orang menerima suntikan vaksin harian dos pertama menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,537 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:14 AM