GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Tiga daerah di Sabah merekodkan sifar kes Covid-19 selama empat hari berturut-turut.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata ketiga-tiga daerah terbabit adalah daerah Nabawan, Kunak dan Kalabakan.

Mengulas lanjut, Masidi berkata selain itu, enam daerah di Sabah mencatatkan kes melebihi 20 kes.

"Antaranya ialah daerah Kota Kinabalu sebanyak 78 kes, Penampang (58); Tuaran (47); Papar (29); Beaufort (27) dan Ranau (22) kes.

"Sebanyak 21 daerah lagi merekodkan kes di bawah paras 20 kes dengan 14 daripadanya hanya merekodkan satu angka dan tidak ada kes baharu di empat daerah," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 427 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 234,127 kes.

"Sebanyak enam kes kematian dilaporkan iaitu dua kes di Kinabatangan manakala masing-masing satu kes di Kota Marudu, Kota Kinabalu, Beaufort dan Penampang.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 475 menjadikan jumlah kumulatif 223,788 orang.

"Manakala 1,448 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 632 orang di hospital, 790 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 24 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)

dan dua di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:22 AM