Jalan Malaysia dinamakan di jalan utama di Gaza, Palestin. FOTO ihsan pembaca
Jalan Malaysia dinamakan di jalan utama di Gaza, Palestin. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64, sebuah sekolah di Gaza, Palestin, mengambil inisiatif memainkan lagu kebangsaan negara bagi meraikan hari bersejarah, hari ini.

Peristiwa bersejarah yang julung kalinya diadakan di Sekolah Al-Salah di Bandar Der Al-Balah, Gaza itu turut dirakam oleh penduduk tempatan.

Seorang penduduk Gaza, Hamza Derawi berkata, lagu kebangsaan negara yang dimainkan itu adalah sebagai penghargaan kepada usaha pelbagai pihak dari Malaysia yang membantu pembinaan semula sekolah berkenaan.

"Sebahagian bangunan sekolah ini pernah dibom semasa serangan berlaku di Gaza, baru-baru ini.

"Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia ada memaklumkan akan membantu untuk membina semula bangunan yang terjejas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video Lagu Kebangsaan berdurasi 24 saat itu turut dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi aplikasi Telegram.

Semua individu dilihat berdiri tegak sebagai tanda hormat ketika pasukan pancaragam memainkan lagu berkenaan.

LAGU Kebangsaan Malaysia dikumandangkan di Gaza, Palestin. FOTO ihsan pembaca
LAGU Kebangsaan Malaysia dikumandangkan di Gaza, Palestin. FOTO ihsan pembaca

Sementara itu, Nadir berkata, sambutan Hari Kebangsaan Malaysia lebih bermakna apabila Palestin menamakan jalan di Gaza sebagai Malaysia Street atau Jalan Malaysia.

Katanya, inilah hadiah paling besar Palestin buat kita bersempena Sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-64 pada tahun ini.

"Sebahagian tanah Palestin kini dinamakan dengan nama negara kita, Malaysia," katanya.

Tambahnya, Malaysia Street ini terletak di salah sebuah jalan penting di tengah bandar Gaza, berdekatan himpunan universiti, bangunan-bangunan kerajaan dan agensi antarabangsa di sini.

"Pemilihan lokasi ini menandakan penghargaan terhadap persaudaraan dan solidariti kita bersama mereka.

Tahniah Malaysia! Kita sudah bertapak di Palestina," katanya.

Perasmian jalan pagi tadi disempurnakan dengan kehadiran Datuk Bandar Gaza, Dr Yahya As-Sarraj, Pengarah MyCare di Gaza Dr Ziad Shehadah, Nadir serta rakan-rakan media tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 9:06 PM