SUMBANGAN Malaysia diabadikan pada sebatang jalan di Gaza.
SUMBANGAN Malaysia diabadikan pada sebatang jalan di Gaza.
minda

Agak lama juga saya meninggalkan penulisan di ruang ini bermula peperangan 11 hari ke atas Gaza pada Mei lalu. Ketika itu perkongsian melalui penulisan digantikan dengan hebahan maklumat terkini melalui ratusan siri LIVE yang didengari puluhan ribu penonton.

Ia pastinya kesan daripada pandemik Covid-19 apabila medan perbincangan secara dalam talian lebih diminati dan dirasakan lebih dekat daripada pembacaan. Audiens tidak dikecewakan apabila dalam beberapa siri LIVE yang berlaku dalam tempoh peperangan, bunyi roket meledak bumi Gaza jelas kedengaran sehingga saya terpaksa mengucap panjang takut-takut terkubur ketika berkongsi.

Alhamdulillah, perang berlalu dengan korban nyawa dan harta yang agak besar, tetapi menatijahkan gelombang kesedaran baharu di peringkat global yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Kewujudan Cinta Gaza Malaysia di lapangan sejak 2013 pun mula disedari masyarakat dan ini bermakna bebanan ke atas kami juga bertambah. Kami dilantik menjadi pengerusi gabungan anak muda MyAqsa Defenders yang dianggotai puluhan NGO dan influencer kemudian dilantik pula menjadi Duta Muhibah gabungan Aid4Palestine.

Daripada mewakili sekitar 20 badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia sebelumnya, tiba-tiba kami bertanggungjawab ke atas dana daripada ratusan NGO yang berbeza. Kami menyusun strategi supaya kerja bantuan untuk Gaza boleh dilakukan secara lebih kemas dan teratur dengan meletakkan tiga garis panduan utama.

Pertama, bantuan yang disampaikan perlu disalur dan diuruskan secara berpusat supaya tidak berlaku pertindihan penerima bantuan. Ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan empat kementerian di Gaza yang bertanggungjawab menyelaraskan bantuan selepas perang iaitu Kementerian Pembangunan Masyarakat (bantuan kewangan segera dan makanan), Kementerian Kesihatan (rawatan dan peralatan perubatan), Kementerian Perumahan dan Kerja Awam (baik pulih rumah dan bangunan) serta Kementerian Luar yang menyelaras bantuan daripada pihak luar.

Kedua, akur dengan pandangan pihak berkuasa tempatan bahawa bantuan yang disampaikan dalam fasa pertama bantuan bertujuan memulihkan Gaza kepada keadaan asal sebelum perang dan bukan melaksanakan projek baharu, contohnya keutamaan adalah membaik pulih rumah yang dimusnahkan Zionis dan bukan membangunkan kawasan perumahan baharu untuk penduduk.

Ketiga, meneruskan kaedah yang disukai rakan strategik di Malaysia iaitu setiap projek yang dilaksanakan dibuat atas nama pihak yang menyumbang serta nama Malaysia dan ini menjadi pengiktirafan kepada penyumbang sekali gus melonjakkan nama negara di Gaza pasca peperangan itu.

Hasil usaha yang teratur dan berkesan, Malaysia mencatatkan beberapa kejayaan besar dalam bantuan yang disalurkan selepas peperangan. Negara kita menjadi negara pertama yang memulakan projek baik pulih rumah di Gaza, mendahului negara lain membabitkan hampir 300 kediaman dengan kos AS$800,000 atau kira-kira RM3.2 juta.

Kemudian kita menjadi negara pertama yang membaik pulih bangunan apartmen di Gaza iaitu Bangunan Al-Andalus dengan kos AS$200,000 (kira-kira RM800,000) hasil usaha kerajaan dan Sultan Kelantan. Selepas usaha itu mendapat liputan media, Kementerian Perumahan memaklumkan negara lain seperti Qatar, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri mula memberikan persetujuan membaik pulih bangunan besar yang terkesan daripada peperangan.

Kita juga menyalurkan sumbangan paling besar dalam sejarah kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Palestin dengan nilai AS$1 juta (kira-kira RM4 juta) apabila pasukan itu adalah barisan hadapan menyelamatkan mangsa ketika perang sebelum ini hanya bekerja dengan kelengkapan serba kekurangan seperti cangkul dan kenderaan usang berusia puluhan tahun.

Pengiktirafan terhadap semua usaha negara dan rakyat Malaysia jelas dihargai Palestin apabila Datuk Bandar Gaza menamakan sebuah jalan utama di Bandar Gaza sebagai 'Malaysian Street' dan dirasmikan pada ulang tahun sambutan ke-64 Hari Kemerdekaan Malaysia.

Untuk fasa pertama bantuan pasca peperangan, pihak Cinta Gaza Malaysia menyalurkan AS$3.3 juta (kira-kira RM13 juta) kepada Gaza hasil kutipan sumbangan NGO dan sumbangan rakan kerjasama strategik lain.

Sejak perang tamat, 1,001 peristiwa baharu berlaku di Palestin termasuk peristiwa Prison Break Palestin dan peristiwa tahanan wanita yang mengandung sembilan bulan di dalam penjara Israel bernama Anhar Ad-Deek.

Kisah ini akan saya kongsikan dalam minggu-minggu akan datang. Teruskan solidariti bersama Palestin!

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:00 AM